Sayangi Telinga Anda



Ramai orang tidak tahu kepentingan penjagaan telinga. Bagi mereka cukup sekadar ‘mengorek telinga seminggu sekali atau bila perlu’. Tahukah anda? Telinga kita perlukan penjagaan yang rapi agar ia tidak terdedah dengan penyakit dan juga kemasukan serangga kecil. Terdapat dua fungsi telinga iaitu untuk pendengaran dan keseimbangan. Telinga perlu dijaga dan dilindungi daripada bahaya supaya sihat dan boleh berfungsi dengan baik.


Sebelum kita ke tips penjagaan telinga, kita kena tahu bahagian telinga. Secara umumnya, telinga terdiri daripada tiga bahagian iaitu telinga luar, telinga tengah dan telinga dalam. Setiap bahagian telinga mempunyai organ dan fungsi yang tersendiri.


Di dalam salur telinga, terdapat sel-sel dalam telinga yang menghasilkan bahan melekit seperti lilin yang dipanggil tahi telinga (ear wax). Tahi telinga juga mempunyai fungsi tertentu.
1.      Ia melindungi dan melembapkan kulit salur telinga, serta mencegah telinga daripada menjadi kering dan gatal.
2.      Ia mengandungi bahan kimia khas yang menentang jangkitan yang boleh merosakkan kulit salur telinga.
3.      Ia bertindak sebagai perisai antara persekitaran luar dan gegendang telinga. Tahi telinga memerangkap debu, kotoran, dan benda-benda lain daripada memasuki telinga anda.
Masyarakat wajib tahu bahawa tahi telinga akan mengalir keluar dari telinga secara semula jadi. Cuba lakukan ini: Selepas mandi, lap salur telinga anda dengan kain atau tisu. Anda akan perasan akan cecair berwarna kuning yang melekat. Itulah tahi telinga.


Terdapat beberapa cara untuk menjaga telinga :
1.      Elakkan penggunaan putik kapas atau alat yang berbucu tajam. Ini kerana penggunaan putik kapas atau objek yang tajam akan mengakibatkan tahi telinga ditolak ke dalam dan boleh mencederakan gegendang telinga. Bagi mereka yang mempunyai tahi telinga yang terlalu banyak atau keras, mereka boleh menggunakan ubat titis telinga yang boleh didapati di farmasi, atau berjumpa dengan doctor untuk mengeluarkan tahi telinga ini.
2.      Jika anda berasa gatal atau tidak selesa di bahagian telinga, disarankan untuk berjumpa dengan doktor bagi rawatan selanjutnya.
3.      Pastikan telinga sentiasa kering. Hal ini kerana kelembapan berlebihan pada telinga memudahkan bakteria untuk masuk ke saluran telinga yang akan menyebabkan infeksi dan iritasi pada bahagian telinga. Bagi sesiapa yang mempunyai hobi berenang, amat digalakkan untuk memakai plag telinga jenis silikon (silicone earplugs) bagi menghalang kemasukan air di dalam telinga.


Kesimpulannya, penjagaan telinga telinga tidaklah rumit cuma kita kena berhati-hati dalam apa jua keadaan sekalipun kerana bahagian telinga kita amat sensitif. Jika kita tersilap langkah, kesannya amat buruk sehingga boleh menyebabkan kita hilang penedengaran. Oleh itu, marilah sama-sama kita elakkan segala penggunaan perkara yang berbahaya untuk dalam telinga kita.

Comments

Popular posts from this blog

UJIAN SARINGAN PENDENGARAN BAYI BARU LAHIR.

Kemudahan Dan Keistimewaan Kepada Orang Kurang Upaya

UJIAN PENDENGARAN PERCUMA